#Bahagia atau derita , ia adalah rahsia rumahtangga yang tidak perlu diceritakan..
Hari minggu , mama mengajak semua anaknya balik ke rumah . Reunion . Lapan orang anak . Semua dah besar panjang , dah ada kerjaya, ada keluarga . Nasib baiklah , sebahagiannya kerja tak jauh, sekitar ibu kota saja dan sebahagian lagi sejam dua perjalanan saja balik kampung .
Berkumpul-lah sekeluarga . Makan-makan. Gelak ketawa bersama . Lepas makan , semua duduk di ruang tamu .
Mama ajak semua duduk keliling dia. Mama ambil dua tiga album lama. Buka dan tunjukkan semua gambar pada anak-anak dan cucu-cucu. Ada yang tergelak tengok gambar lama , ada yang menangis tengok gambar arwah abah . Semua tu kenangan .
Sambil-sambil belek gambar lama , mama bersuara ,
“Zaman sekarang dah tak sama macam dulu . Album gambar macam ni dah lapuk. Ketinggalan zaman. Semua album sekarang dalam henfon, komputer. Digitalkan semua. Gambar-gambar dulu semua original, tak ada edit-edit. Sekarang, susah nak beza. Kadang-kadang tak cam tu ahli keluarga sendiri .”
Kami senyum saja dengar. Memang zaman dah berubah.
“ Mama tengok di internet . Dengan tab yang kamu semua belikan tu . Mama jadi hairan ;
Contohnya , orang muda yang baru saja bernikah setahun dua. Ada anak kecil seorang dua . Rata-rata mereka tulis tentang kebahagiaan pernikahan mereka. Sebarkan tentang kebahagiaan mereka . Malahan , bangga dan kagum . Mama terfikir , usia pernikahan baru menginjak setahun dua, masih terlalu awal untuk simpulkan bahagia. Orang lain pun kahwin juga , perjalanan masih jauh hidup berumahtangga .
Tak diduga pun lagi dengan kepayahan besarkan anak, anak nak sekolah, anak nak masuk universiti, anak sakit kritikal , anak kemalangan , suami buat hal , bergaduh sampai nak bercerai , anak-anak terlibat kes juvana dan macam-macam lagi .
Awal-awal, memang manis . Semuanya sweet. Tapi, ingat. Di setiap kemanisan, adanya ujian .
Setiap kebahagiaan yang bangga ditayang, jangan disangka Allah tidak akan berikan dugaan demi dugaan .”
Kami cuba mencelah ,
“Tapi, mama, kami cuma nak orang lain pun rasa gembira . Nak ajak orang muda segera berumahtangga...”
Mama senyum .
“Niat tu baik. Tapi bagi mama, bahagia itu biarlah kita saja yang rasa. Macam kita tengah tengok gambar-gambar sekarang ni, yang teruja dan gembira hanyalah kita . Sebab, kita saja yang melalui dan mengerti. Sedangkan di luar sana, ada macam-macam jenis orang. Ada yang tumpang gembira, ada yang cemburu, ada yang sakit hati, ada yang meluat, ada yang benci .
Kita pun tidak suka bila gambar-gambar kebahagiaan kita jadi buah mulut orang yang benci. Jadi tohmahan dan fitnah. Ingat, ramai yang suka kita, ramai juga yang tak suka kita .”
Kami anggukkan saja . Antara setuju dan tidak .
“Mama cuma nak ingatkan anak-anak dan cucu-cucu . Mama tak larang, sebab ini zaman kamu. Bukan lagi zaman mama .
Misalnya, hari ini kamu canangkan di laman sosial, “Bahagianya cinta lepas nikah” dengan gambar kamu dan isteri terpapar megah . Kemudian, Allah uji pernikahan kamu tu dengan salah faham dan perkelahian. Akhirnya, bercerai di usia muda . Masa tu , cuba kamu fikir silapnya di mana? Jangan salahkan takdir. Tapi, kerana kita kadang-kadang terlampau seronok, gembira, kita rasa kita buat tu semuanya betul . Kita lupa Allah sedang memerhati dan menilai.
Kita lupa di dunia ini , Allah tidak penat menduga .
Kita saja yang sentiasa tersungkur diduga .
Bahagia yang sebenar-benarnya bahagia, hanya di akhirat sana .
Bahagia yang dirasai sekarang , fana dan sementara .
Orang-orang beriman , rasa bahagia diduga .”
Kami senyum , cium tangan dan pipi mama. Walaupun tidak sependapat, kadang-kadang pendapat orang tua perlu difikirkan . Mereka sudah berada di hujung jalan dengan pelbagai kutipan liku-liku pengalaman . Sedang kita baru nak mulakan perjalanan .
ARTIKEL MENARIK : KEMPISKAN PERUT SELEPAS BERSALIN
No comments:
Post a Comment